PROFIL PUSAT KOKURIKULUM

Latar belakang Pusat Kokurikulum

Pusat Kokurikulum, Bahagian Hal Ehwal Pelajar telah ditubuhkan pada awal tahun 2004 hasil dari penstrukturan semula UiTM dalam usaha melahirkan graduan yang memenuhi 21 Ciri Graduan UiTM yang ditetapkan. Pusat Kokurikulum telah diwujudkan oleh UiTM untuk melaksanakan bidang tugas Pengarah dan staf Pusat Kokurikulum selaras dengan peruntukan Akta 173.

Pusat Kokurikulum mempunyai empat unit penting iaitu Unit Pembangunan Akademik, Unit Latihan & Kompetensi, Unit Kesukarelawanan & Pencapaian dan Unit Pentadbiran.

Unit Kesatria merupakan Unit Kokurikulum pertama yang diwujudkan di UiTM berbangkit dari dua insiden demonstrasi oleh pelajar-pelajar di Semua IPTA (termasuk UiTM) pada akhir tahun 1975 dan awal 1976. Bagi mengatasi masalah disiplin dan salah laku pelajar ketika itu, maka kokurikulum Kesatria ditubuhkan dengan objektifnya untuk menerapkan nilai-nilai disiplin yang tinggi dalam kalangan pelajar.

Bilangan pengambilan pelajar kokurikulum Kesatria dan lain-lain kokurikulum juga telah bertambah sejajar dengan perkembangan UiTM. Didapati 30% daripada pelajar UiTM adalah ahli Kesatria dan bakinya dari komponen kursus kokurikulum yang lain.

Bilangan pelajar yang mengikuti kursus kokurikulum yang ramai termasuk Kolej Bersekutu UiTM perlu kepada pemantauan yang rapi. Pengstrukturan semula UiTM amnya dan penyusunan semula perkhidmatan-perkhidmatan di Bahagian Hal Ehwal Pelajar khasnya telah mengambil kira fungsi serta peranan dan semua Staf Unit Kesatria untuk memastikan perkhidmatan di Bahagian Hal Ehwal Pelajar memenuhi keperluan para pelajar dan hasrat universiti.

Penstrukturan semula fungsi organisasi Unit Kesatria dan Staf Skim Kesatria dilihat satu usaha serius Bahagian Hal Ehwal Pelajar dalam memantapkan pelaksanaan kokurikulum di UiTM. Dalam perkara ini mulai Oktober 2007, Unit Kesatria ditukar nama kepada Unit Kokurikulum dan Pegawai Kesatria serta Pembantu Kesatria disebut Pegawai Kokurikulun dan Pembantu Kokurikulum. Dengan ini fungsi mereka bukan sahaja bertaggungjawab kepada Kokurikulum Badan Beruniform sahaja malahan semua kursus kokurikulum di UiTM diletak di bawah pengurusan Pegawai dan staf Kokurikulum. Ini bertujuan untuk memberi lebih ruang kepada organisasi memperluaskan skop tugas, meningkatkan fungsi dan tanggungjawab kepada jawatan sedia ada. Dengan ini diharap pelaksanaan kursus kokurikulum di seluruh sistem UiTM akan berjalan lebih tersusun dan sistematik dalam menghasilkan gradúan yang holistik, seimbang dan berciri keusahawanan.

Pusat Kokurikulum sehingga kini telah pun melalui pelbagai era perubahan sesuai dengan visi dan misi Universiti dan juga perubahan senario sosio-budaya dan sosio-politik Negara. Isu Ketuanan Melayu/Patriotisme terkini merupakan agenda pertama Universiti dalam penjanaan semula semangat patriotik dalam kalangan pelajar UiTM buat ketika ini. Selain itu, program kesukarelawanan juga mendapat keutamaan untuk dilaksanakan.

Pada masa kini terdapat 213 kursus kokurikulum berkredit yang diletakkan di bawah lapan teras, iaitu:
  1. Kepemimpinan
  2. Kesukarelawanan
  3. Kesenian dan Kebudayaan
  4. Keusahawanan
  5. Sukan
  6. Khidmat Komuniti
  7. Pengucapan Awam
  8. Daya Usaha dan Inovasi
Latar belakang Kesatria

Kesatria adalah latihan ala ketenteraan yang diwujudkan atas inspirasi dan idea oleh mantan Pengarah ITM, YBhg. Allahyarham Dato' Lokman Musa. Titik permulaan penubuhan Kesatria ini adalah berikutan peristiwa dua demonstrasi pelajar-pelajar pengajian tinggi termasuk ITM pada akhir tahun 1975 dan awal tahun 1976 yang menyebabkan penyingkiran lebih kurang 200 orang pelajar dari ITM. Oleh yang demikian, usaha meningkatkan disiplin dalam kalangan pelajar-pelajar ITM perlu dititikberatkan.

Dengan ini, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) telah diarahkan untuk memperbaiki disiplin pelajar. Antara individu yang menjadi penggerak kepada penubuhan Kesatria ialah Prof Emeritus Tan Sri Dato' Seri Dr Ibrahim Shah Bin Abu Shah yang ketika itu sebagai Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan kemudian HEP melantik Koordinator Kesatria, Encik Abdul Ghani bin Puteh pada 8 Jun 1976.

Memandangkan Kesatria adalah sangat perlu bagi meningkatkan disiplin di kalangan pelajar ITM, pada 24 Januari 1979 satu kertas kerja telah dibuat oleh Encik Abdul Ghani bin Puteh untuk menubuhkan Unit Kesatria secara rasmi. Pada tahun 1982 barulah diwujudkan penjawatan Unit Kesatria di ITM Shah Alam dan diketuai oleh Kapten Mokhtar Najar sebagai ketua unit yang pertama dan kemudian di kampus-kampus cawangan seperti Terengganu, Perlis, Sabah, Sarawak dan lain-lain.

Bermula dengan penglibatan seramai 21 orang peserta iaitu 20 siswa dan seorang siswi, sebuah latihan intensif telah diadakan bagi melatih Ketua-Ketua Platun agar dapat membantu Jurulatih mengendalikan Latihan Kokurikulum Kesatria. Siri pertama latihan tersebut diadakan selama 23 hari bermula daripada 20 Jun 1976 sehingga 12 Julai 1976. Pada peringkat awal penubuhan, latihan Kesatria ini adalah secara sukarela. Namun pada 13 Februari 1978, ia telah dijadikan kokurikulum wajib.

Pada tahun 2007 pihak pengurusan tertinggi UiTM telah meminda nama Unit Kesatria kepada Unit Kokurikulum. Kini, bersempena hari ulang tahun Kesatria yang ke-45 pada 8 Jun 2021, Unit Kokurikulum tampak semakin berdaya maju dalam pelbagai aspek termasuklah aktiviti dan latihan, pentadbiran, dan hubungan dua hala sama ada dengan jabatan awam mahupun badan-badan bukan kerajaan.
Objektif Pusat Kokurikulum

Bagi memastikan Pusat Kokurikulum, Bahagian Hal Ehwal Pelajar cekap dan berkesan, objektif Pusat Kokurikulum adalah seperti berikut:

  1. Merancang dan melaksana Dasar Kokurikulum UiTM.
  2. Melantik, melatih, memantau dan menilai jurulatih kokurikulum.
  3. Merancang dan melaksana program pengukuhan Kemahiran Insaniah kepada kepada pelajar kokurikulum.
  4. Merancang dan melaksana program Kesukarelawanan dalam kalangan pelajar dan staf UiTM.
  5. Merancang dan melaksanakan program Service Learning Malaysia-University For Society (SULAM) kepada pelajar kokurikulum.
  6. Membuat kajian impak terhadap pelaksanaan kursus kokurikulum UiTM.
Pengurusan Latihan & Kompetensi

  • Pelantikan Jurulatih Kokurikulum
  • Pemantauan Jurulatih Kokurikulum
  • Pelaksanaan Kursus Induksi Jurulatih Kokurikulum
  • Pengurusan Stor
  • Penganjuran Aktiviti Pelajar
  • Mengurus Pelaksanaan Program Service Learning Malaysia-University For Society (SULAM)

Pengurusan Pembangunan Akademik

  • Penilaian Jurulatih Kokurikulum
  • Penawaran Kursus Kokurikulum
  • Pengecualian Kredit Kursus Kokurikulum
  • Penawaran Kursus Kokurikulum Baharu
  • Pemurnian Silibus Kursus Kokurikulum Sedia Ada
  • Kursus TOT Kejurulatihan
  • Pemasukan Markah Kursus Kokurikulum
  • Pembetulan Markah Prestasi Kokurikulum Pelajar

Pengurusan Kesukarelawanan & Pencapaian

  • Pengumpulan Data Pencapaian
  • Menguruskan dan Melaksanakan Kursus/Latihan Kesukarelawanan Pelajar
  • Menguruskan dan Melaksanakan Program/Aktiviti Kesukarelawanan Pelajar

Pengurusan Pentadbiran

  • Pembayaran Tuntutan Elaun Jurulatih Kokurikulum

Pautan Pantas

Kalendar Akademik Kokurikulum
Takwim Aktiviti Kokurikulum

Hubungi Kami

Pusat Kokurikulum
Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Teknologi MARA
40450 Shah Alam
Selangor
 
 
Tel: +603-5544 3525/ 3536/ 3547
Fax: +603-5544 3497

 

WAKTU OPERASI
Isnin - Jumaat : 8.00am - 5.00pm
Sabtu - Ahad : TUTUP